IPOH: Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim sebak ketika membaca khutbah Jumaat mengenai keperibadian Allahyarham Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika solat Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini hari ini.
Dalam khutbahnya, Zamri berkata, Allahyarham sering menitiskan air mata memikirkan nasib agama dan bangsanya sepanjang perjuangan dakwahnya.
Menurut Zamri, sepanjang 82 tahun usia Allahyarham, 36 tahun diabadikan untuk menjunjung amanah berkhidmat sebagai Mufti Perak.
“Semoga titisan air mata Allahyarham akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk kita teruskan,” katanya dalam khutbah Jumaat hari ini.
Zamri, yang berkhidmat 24 tahun bersama Harussani berkata, Allahyarham menyempurnakan tanggungjawab tanpa mengenal jerih atau perih, jemu atau bosan, gigih dan tekun berusaha mentarbiahkan ummah dan menyebarkan syiar Islam.
Menurutnya, Allahyarham telah menyempurnakan tanggungjawab secara tegas lagi berani, teguh berpegang kepada prinsip yang berlandaskan al-Quran dan sunah serta logik qias yang bernas.
Katanya, sepanjang hayat Allahyarham agama Islam, institusi raja Melayu, orang Melayu, kedudukan dan pencapaian ummah dari sudut pendidikan dan ilmu, taraf sosial dan kemajuan ekonomi, perpaduan dan penguasaan politik, merupakan mauduk-mauduk yang sangat dekat di hati beliau.
“Allahyarham sentiasa menyuarakan peringatan akan pentingnya peranan raja pemerintah sebagai payung agama Islam dan benteng pertahanan adat Melayu.
“Oleh itu, para ulama dan para wazir wajib menyembahkan sebaik nasihat kepada raja pemerintah agar institusi tersebut, dijamin kedaulatannya, dan tidak dicemari atau dipersendakan,” katanya.
Zamri berkata, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negeri dan ummah kini tinggal dalam kenangan.
“Pemergian Harussani menyahut seruan Ilahi merupakan kehilangan yang sangat berharga kepada negeri dan ummah dan sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui hikmah di sebalik setiap kejadian.
“Mungkin telah sampai waktunya, insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi rabnya, meninggalkan amanat dan tanggungjawab untuk diteruskan oleh kita yang masih dikurniakan usia di dunia ini,” katanya.
Zamri turut meminta agar semua memanjatkan doa agar roh Allahyarham dilimpahi sebesar-besar rahmat dan ditempatkan bersama roh para solihin, di samping mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham menerima kesedihan perpisahan ini dengan ketabahan dan keredaan yang meningkatkan ketakwaan.
Harussani, 82, meninggal dunia pada 30 Mei lalu setelah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan