Jumaat, 11 Jun 2021

50 selebriti juri All Together Now Malaysia dipanggil polis

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR

PUTRAJAYA: Polis akan memanggil 50 juri selebriti yang terbabit dalam rakaman program hiburan ‘All Together Now Malaysia’ terbitan Astro baru-baru ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, kesemua mereka akan dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, mereka akan disiasat bagi membantu siasatan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka akan disiasat kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan akan disiasat mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Kami juga akan menyiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, kertas siasatan kemudian akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai.

Mohd. Fadzil berkata, siasatan awal mendapati, sesi rakaman berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) antara 3 Mac hingga 11 April lalu.

“Pada 8 Jun lalu, kami menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan mendakwa program tersebut telah melanggar SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan fakta atau isu berkenaan dengan kes ini,” katanya.

Episod pertama All Together Now Malaysia terbitan Astro yang disiarkan pada 6 Jun lalu mengundang perhatian ramai selepas dikatakan melanggar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka.UTUSAN

Tiada ulasan: