Polis menahan seorang usahawan kosmetik wanita semalam bagi membantu siasatan kes provokasi terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekatan jalan raya (SJR) di Kota Kinabalu pada 1 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata wanita yang ditahan pada pukul 11.20 pagi di sebuah kondominium di Jalan Lintas Kepayan di Kota Kinabalu itu, direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian itu pada 8.30 malam, Khamis lepas (17 Jun) selepas video provokasi terhadap anggota polis yang bertugas di SJR Kepayan itu tular di media sosial pada hari yang sama.
"Laporan itu dibuat selepas video yang direkod oleh orang awam tular di laman sosial mengatakan bahawa anggota polis membuat provokasi terhadap individu yang bernama 'Wawa'.
“Hasil siasatan awal, insiden ini berpunca daripada provokasi beliau terhadap anggota yang bertugas kerana mengenakan saman akibat cukai jalan dan insurans kenderaan miliknya yang tamat tempoh sejak Januari lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini.
Mohd Zaidi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan siasatan kini pada tahap 80 peratus selesai.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan