MALAYSIAKINI
Malaysia sedang membangunkan vaksin Covid-19 menggunakan teknologi mRNA (messenger asid ribonukleik), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata vaksin itu mula dibangunkan pada November 2020 oleh Institut Kajian Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Status pada masa ini adalah di peringkat pengklonan yang merangkumi virus asal dan varian lain virus SARS-CoV-2,” katanya pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin, di Putrajaya hari ini.
Dr Adham berkata selepas proses pembangunan selesai, kajian keberkesanan vaksin iaitu praklinikal terhadap haiwan kecil dan besar dan kajian klinikal manusia fasa satu hingga tiga perlu dijalankan sebelum proses pendaftaran dan pengilangan vaksin.
Hanya satu kes
Mengenai petugas kesihatan yang dijangkiti semula Covid-19 selepas lengkap dua dos vaksin, Dr Adham berkata seramai 1,480 individu telah dijangkiti semula namun hanya satu kes sahaja dikesan berada di kategori empat iaitu bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
Kebanyakan individu yang dijangkiti itu dikesan berada di kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala tanpa radang paru-paru, katanya.
“Ini menunjukkan vaksinasi berkesan untuk melindungi sesiapa yang dijangkiti tidak mengalami gejala serius. Data itu juga menunjukkan keberkesanan dalam kalangan petugas kesihatan yang dipantau setakat ini bahawa program vaksinasi adalah baik dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham berkata varian baharu Covid-19 yang dikesan sehingga kini adalah 183 melalui pengawasan genom iaitu 167 Varian yang Membimbangkan (VOC) dan 16 Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI).
“Oleh itu kita masih terus melaksanakan pengawasan genom dalam masa tiga bulan akan datang," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan