Madiha Abdullah
Kementerian
Pendidikan perlu menyelaras dan mengambil kira isu bekalan vaksin,
apatah lagi ia di bawah kendalian Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi
COVID-19 (CITF), kata Datuk Radzi Jidin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Vaksinasi pelajar merupakan antara aspek penting dalam persediaan
pembukaan semula sekolah yang dijangka pada fasa ketiga Pelan Pemulihan
Negara.
Namun dalam masa yang sama,
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, Kementerian
Pendidikan (KPM) juga perlu menyelaras dan mengambil kira isu bekalan
vaksin, apatah lagi ia di bawah kendalian Jawatankuasa Petugas Khas
Imunisasi COVID-19 (CITF).
"Pertama, task force
vaksin di bawah Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Penyelaras. Tetapi
kami berbincang apa kaedah paling sesuai kerana hal ini memerlukan
pemahaman yang mendalam.
"Apabila
cakap tentang vaksin, kita kena tengok juga pada isu bekalan. Kalau
ikutkan memang kita nak vaksinkan semua dengan cepat tetapi kena faham,
bekalan vaksin perlu ikut jadual tertentu seperti yang ditetapkan
pembekal.
"Jadi kami (KPM) mohon agar
didahulukan pelajar yang akan menduduki peperiksaan untuk diberikan
vaksin," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan ulang
tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-65, hari ini.
Ditanya
apakah tindakan jika ada dalam kalangan pelajar yang enggan menerima
vaksin, Radzi memaklumkan ia akan tertakluk kepada dasar kerajaan
berkenaan perkara itu.
Dalam pada itu, Datuk Radzi Jidin juga memaklumkan, pengambilan khas guru baharu secara one-off seperti yang diumumkan sebelum ini akan mengutamakan graduan ikhtisas perguruan tanpa meminggirkan aspek kualiti.
"Kita
akan pastikan semua guru yang diambil bersedia dan dapat laksanakan
pengajaran dan pembelajaran dengan sebaiknya. Kita amat menitik beratkan
hal ini dan tidak akan mengambil ringan kualiti guru-guru yang kita
hantar mengajar di sekolah.
"Semua proses
pengambilan akan dijalankan dengan teliti dan tersusun. Kalau ada
graduan ikhtisas pendidikan, ada caranya tetapi bagaimana pula untuk
subjek atau bidang yang sudah lama kosong, kita perlu fikirkan cara.
"Kalau tak ada graduan ikhtisas pendidikan, kita perlu juga ambil pendekatan melihat pada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.
"Tetapi mestilah kita tidak ambil sebarangan dan mereka ini akan dihantar menjalani latihan terlebih dahulu," ujarnya lagi.
Sehubungan
itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak bimbang dan meletakkan
kepercayaan kepada KPM untuk menyelesaikan isu kekurangan guru yang
sudah lama berlarutan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan