PARIT: Keprihatinan anggota polis membantu seorang wanita yang membawa bayinya ketika kereta mereka rosak di persimpangan lampu isyarat Bota Kanan, di sini, hari ini mendapat pujian ramai.
Kejadian pada pukul 10.30 pagi itu mendapat perhatian apabila Ketua Polis Balai Bota, Asisten Superitenden Hasrul Affendi Mohd. Salleh bersama dua anggotanya yang ketika itu sedang menjalankan operasi dan pemantauan pematuhan prosuder operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Kereta Proton Wira yang dipandu wanita berusia 30-an bersama anaknya dianggarkan berusia empat bulan itu dikatakan mengalami masalah bateri dan enjinnya tidak dapat dihidupkan selepas berhenti di lampu isyarat persimpangan berkenaan.
Menurut Hasrul Affendi, wanita berkenaan memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Lekir, Sitiawan selepas membawa bayinya yang menghidap masalah buah pinggang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh.
“Wanita itu keluar dari keretanya dalam keadaan cemas dan bayinya berada dalam kereta.
“Dia memberitahu keretanya tidak dapat dihidupkan sebelum kami menolaknya ke kawasan lebih selamat dan menghubungi mekanik,” katanya kepada pemberitadi hari ini.
Selepas mendengar penjelasan wanita berkenaan, Hasrul Affendi kemudiannya menolak kereta wanita berkenaan bersama anggotanya dan turut dibantu oleh orang awam yang berada di situ.
Katanya, wanita berkenaan turut memaklumkan dia mempunyai dua orang lagi anak yang ditingalkan sementara di rumah.
“Wanita berkenaan juga memberitahu dia meminjam kereta abang iparnya dan terpaksa memandu sendiri kerana tidak mahu terlepas temu janji rawatan anaknya biarpun suaminya yang juga nelayan tidak dapat menemai mereka kerana keluar ke laut,” katanya.
Selepas kereta tersebut dibaiki, wanita berkenaan segera pulang bersama bayinya kerana memikirkan dua lagi anaknya dirumah. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan