Oleh MASZUREEN HADZMAN
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut akibat dipanah petir ketika mengikat kanvas muatan batu bata di Permata Kuari, Latar Rawang, Rawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu, Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima panggilan dari orang awam memaklumkan seorang lelaki berusia 27 tahun maut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Zainal Mohamed Mohamed berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan unit peronda polis (MPV) kemudiannya ke lokasi kejadian.
Kata beliau, pihak ambulans dari Hospital Selayang turut sampai di tempat kejadian dan mengesahkan kematian mangsa.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di kawasan kuari batu-bata.
“Mangsa adalah seorang pemandu lori yang mana ketika kejadian hujan lebat di kawasan kuari itu.
“Ketika mangsa meletakan kenderaannya lebih kurang 50 meter dari tempat muatan batu bata, mangsa keluar dari lori dan berdiri di tepi bagi tujuan mengikat kanvas muatan batu bata tiba-tiba terdengar bunyi dan diikuti panah petir di lori mangsa sebelum dia didapati terbaring di tepi kenderaan disyaki terkena panahan petir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zainal, pemeriksaan lanjut pada badan mangsa didapati tiada unsur-unsur jenayah.
“Mangsa dihantar ke Unit Forensik,Hospital Selayang untuk ujian calitan dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Siasatan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan