Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
SEPANG – Calon yang bakal mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) akan diumumkan dalam masa sehari dua ini,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, pihaknya sudah ada beberapa nama sebagai cadangan dan ia akan umumkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, boleh kita umumkan tidak lama lagi, dalam sehari dua ini. Tapi kena tunggu waktu pengumuman esoklah,” katanya ringkas mengulas mengenai kekosongan jawatan nombor dua dalam pasukan Polis Diraja Malaysia itu.
Sebelum ini, beberapa nama disebut-sebut untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 3 Mei lalu.
Antara nama yang disebut ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya, Pengarah Pengurusan, Datuk Ramli Din dan Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, peralatan kamera badan bagi anggota polis yang perolehan sepatutnya dilaksanakan tahun ini tergendala berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun katanya, sebaik proses tender selesai dan perolehan peralatan itu dimuktamadkan, pihaknya akan menyegerakan pemakaian kamera badan dalam aktiviti penguatkuasaan.
Perolehan kamera badan di bawah pelan pelaksanaan pemasangan kamera badan itu membabitkan cadangan perolehan sebanyak 2,168 unit kamera jenis 4G.
Jelasnya, beliau komited dengan adanya teknologi canggih ini dapat digunakan yang antara lain memberi kesan positif serta mampu mengurangkan kes aduan, perbuatan salah laku dan rasuah dalam kalangan anggota di lapangan. -K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan