Oleh KOSMO!
SINGAPURA – Penduduk Singapura kini boleh mendapatkan kit ujian saringan pantas antigen (ART) Covid-19 di farmasi-farmasi terkemuka di negara itu bermula 16 Jun ini, lapor portal Mothership hari ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan Singapura yang telah meluluskan kebenaran sementara kepada beberapa farmasi runcit untuk menjual empat jenis kit saringan kendiri ART kepada orang ramai.
Kit saringan ART tersebut terdiri daripada Ujian Kendiri Antigen Abbott PanBio Covid-19, Ujian QuickVue At-Home OTC Covid-19, Ujian Kendiri Hidung Antigen SD Biosensor SARS-CoV-2 dan Ujian Kendiri Antigen SD Biosensor Standard Q Covid-19.
Kesemua kit tersebut boleh mengeluarkan keputusan saringan dalam tempoh 20 minit.
Bagi memastikan bekalan yang mencukupi, hanya 10 kit ART boleh dibeli oleh setiap orang.
Kementerian berkata, kit saringan tersebut akan membolehkan pengesanan jangkitan Covid-19 dilakukan dengan pantas, khususnya dalam kalangan individu yang tidak mempunyai simptom-simptom jangkitan.
Bagi individu yang didapati positif selepas menggunakan alat tersebut, mereka dikehendaki pergi ke klinik untuk melakukan ujian saringan polymerase chain reaction (PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.
Saringan PCR adalah lebih sensitif dan menghasilkan keputusan yang lebih tepat. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan