Jumaat, 18 Jun 2021

‘Sudah tiga kali jadi mangsa’

 Oleh HADI AB MANAP

SALAH sebuah kedai gunting rambut milik Mohd. Azrulnizam Azran di Tanjong Minyak, Melaka yang ditutup kerana pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan PKP 3.0. – UTUSAN/HADI AB. MANAP

MELAKA: “Tiga kali pelaksa­naan Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP), tiga kalilah tu­­kang gunting rambut menjadi mang­sa keadaan terpaksa tanggung kerugian akibat tidak dibenarkan beroperasi”.

Itu luahan salah seorang pengusaha kedai gunting rambut di negeri ini kepada Utusan Malaysia yang mengakui ‘mati akal’ setiap kali kerajaan tidak mengumumkan perniagaannya itu sebagai perkhidmatan perlu.

Mohd. Azrulnizam Azran, 39, sebelum ini memiliki tiga buah kedai gunting rambut, namun terpaksa menjual salah satu dari­padanya kerana tidak lagi mampu menampung kos operasi.

MOHD. AZRULNIZAM AZRAN

Katanya, lebih memeritkan, setiap kali dibenarkan semula beroperasi, dia terpaksa mencari tenaga kerja baharu memandangkan pekerja-pekerja sedia ada yang berkemahiran telah berhenti demi kelangsu­ngan hidup.

Jelasnya, situasi itu membuatkan rata-rata pengusaha sepertinya bagai hilang arah, di saat premis-premis lain yang lebih berpotensi mencetuskan kluster diberikan ‘lampu hijau’ oleh kerajaan.

“Sudah hampir dua tahun Covid-19 melanda, daripada PKP pertama sehinggalah PKP 3.0, setahu saya belum ada kluster yang disebabkan oleh kedai gunting rambut. Setahu saya belum ada.

“Walaupun perniagaan kami ini melibatkan sentuhan, tetapi kami ikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Kami akur meski­pun terpaksa tanggung kos tambahan sarung tangan, apron pakai buang dan sebagainya. Jadi berilah kami ruang, sehingga pukul 6 petang pun syu­kur Alhamdulillah,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha, Lufty Ahmad berkata, terdapat segelintir tukang gunting yang terpaksa menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah demi se­suap nasi.

LUFTY AHMAD

Katanya, bagaimanapun ka­edah berkenaan dilihat tidak sihat dan lebih berpotensi menyebarkan pandemik se­andainya terdapat jangkitan.

KEDAI gunting rambut milik Lufty Ahmad yang beroperasi di Pekan Merlimau, Jasin, Melaka. – UTUSAN/HADI AB. MANAP

Tiada ulasan: