Jumaat, 18 Jun 2021

‘Masuk kampung kami imbas dulu MySejahtera’

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SAM Anak Chen (baju merah) memantau penduduk yang melalui pintu masuk di Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Ulu Beranang, Lenggeng, Seremban. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN: Bagi mengelak jangkitan Covid-19 daripada menular, penduduk di Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Ulu Beranang, Lenggeng dekat sini mengambil langkah membina pagar besi di pintu masuk kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng, Sam Anak Chen berkata, sekatan besi penghadang itu didirikan pada tahun lalu malah ia juga lengkap de­ngan imbasan kod MySejahtera.

“Sebelum ini, kami hanya menggunakan buluh sebagai penghadang namun ia sudah reput jadi kami membina penghadang besi ini bagi mengawal kemasukan orang luar ke kampung ini.

“Penduduk kampung juga perlu mengimbas kod MySejahtera terlebih dahulu sebelum memasuki kampung ini. Saya juga selalu berada di pintu ma­suk ini bagi memastikan mereka mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, dia merasakan penghadang besi merupakan cara terbaik untuk mengelakkan penduduk kampung terkena jangkitan Covid-19 dari luar.

“Ramai peraih datang ke kampung ini terutama ketika musim durian ketika ini. Mereka juga datang membeli daun pisang dan buah pisang,” katanya yang turut memberitahu pintu penghadang itu ditutup pada pukul 8 malam.

Sementara itu jelas Sam, Kampung Orang Asli Jeram Kedah juga terpilih untuk mewakili Ne­geri Sembilan dalam Pertan­dingan Kampung Zon Hijau Co­vid-19 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Di kampung kami ini kami masih kekal sebagai kampung yang masih berada dalam zon hijau dan masih tiada kes positif Covid-19. Pihak KPLB akan me­ngadakan penilaian pertandi­ngan ini pada Ogos nanti,” katanya yang memberitahu seramai 655 orang penduduk tinggal di kampung berkenaan. UTUSAN

Tiada ulasan: