Rabu, 9 Jun 2021

SPRM tahan 6 pegawai bank minta suapan RM18 juta

Semua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun itu dilaporkan 
bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.
 (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai dan kakitangan sebuah bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Semua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun itu ditahan pada jam 4.45 petang di Pejabat SPRM Selangor di sini, pada Selasa.

Bernama memetik sumber mengatakan, wang rasuah itu sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan daripada pemohon yang sebenarnya tidak layak membuat pinjaman.

“Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15% hingga 35% daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai lebih kurang RM18 juta,” kata sumber berkenaan.

Sumber turut memberitahu, pegawai dan kakitangan tersebut bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman

Tiada ulasan: