Isnin, 7 Jun 2021

Senarai surat pengesahan diterima pakai PDRM di sekatan jalan raya

432 ditahan ingkar
GAMBAR FAIL merakamkan anggota Polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah kawalan Pergerakan (PKP) di PLaza Tol Setia Alam, Shah Alam baru-baru ini.. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengeluarkan senarai surat pengesahan daripada kementerian, agensi yang akan diterima pakai sebagai bukti bagi membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja bagi sektor-sektor dibenarkan beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM mengingatkan orang ramai agak mengemukakan dokumen yang telah disenaraikan ketika melalui sekatan jalan raya.

‘’Mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 343),’’ katanya dalam kenyataan, malam ini.

Berikut adalah senarai surat pengesahan yang diterima pakai oleh PDRM:

*Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan.

* Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan.

* Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi sektor pertanian, perikanan, peternakan, perladangan dan komoditi. MAFI hanya mengeluarkan surat pengesahan kecil

Bagi yang mempunyai leen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0)

*Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi seperti kelapa sawit, getah atau sebagainya.

Bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan yang dikeluarkan oleh MPIC atau LGM.

Bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0)

*Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor institusi kewangan,insurans.

*Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urusniaga saham.

*Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil, penjaja gerai makanan, Food Truck. Pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal dan sanitasi surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0).

* Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi perkhidmatan telekomunikasi,media,pos, kurier dan penyiaran.

* Kementerian Dalam Negeri (KDN).Semua surat pengesahan yang dikeluarkan oleh agensi-agensi berada di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya akan diterima pakai kebenaran pergerakan.

* PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah Peraturan Rentas Sempadan iaitu ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri.

Acryl Sani berkata,  dokumen pengesahan hendaklah bertarih mulai 1 Jun 2021, oleh itu pihak yang tiada sebarang dokumen yang sah atau telah tamat tempoh iaitu sebelum tarikh tersebut akan berpatah balik.

‘’Bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperolehi daripada polis secara one-off (1 Jun hingga 14 jun),’’ katanya.

Beliau juga memaklumkan, bagi pekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu untuk ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois, pembayaran gaji dan sebagainya kebenaran akan diberi secara one-off iaitu bagi tempoh 2 hingga 3 hari sahaja surat pengesahan daripada majikan perlu dikemukan sebagai bukti.

‘’Bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri melalui MITI (CIMS 3.0).

”Bagi pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes-kes yang baharu (reman Seksyen 117 Kanun Acara jenayah) hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firman guaman,’’ katanya.

Acryl Sani berkata, PDRM memohon masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19.

Tiada ulasan: