Isnin, 7 Jun 2021

Hampir 2.5 juta terima satu dos, kadar keseluruhan PICK cecah 3.57 juta

KADAR keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencecah 3.57 juta sehingga semalam sejak program tersebut bermula awal Februari lalu.

Jumlah pemberian harian juga masih tinggi iaitu mencecah 81,183 dos semalam melibatkan 79,620 bagi suntikan pertama dan 1,563 dos kedua.

Pemberian keseluruhan yang dicatatkan itu melibatkan 2.44 juta individu yang telah pun menerima suntikan pertama imunisasi COVID-19 berkenaan.

Pada masa sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, 1.13 juta individu lagi telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin setakat semalam.

Bagi dua dos vaksin, beliau berkata, penerima terbanyak masih kekal di Selangor iaitu melibatkan seramai 145,972 individu.

Dr. Adham memaklumkan, ia diikuti 119,421 individu di Sarawak; 105,546 di Perak; 101,822 di Kuala Lumpur dan 98,429 individu di Johor.

Katanya, Sabah menjadi penerima keenam tertinggi bagi dua dos vaksin iaitu sebanyak 91,143 seterusnya Pahang (80,014); Pulau Pinang (73,682) dan Kedah (70,581).

Baca artikel berkaitan: Petugas kesihatan redah arus deras untuk vaksinasi penduduk

“Di Negeri Sembilan pula sebanyak 56,236 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 55,945 di Kelantan; 50,669 di Terengganu dan 36,452 di Melaka.

“Sebanyak 19,102 dos kedua vaksin telah diberikan di Perlis dan masing-masing sebanyak 12,866 dan 12,421 di Labuan serta Putrajaya,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Kuala Lumpur menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 406,536 individu.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 352,725 di Selangor; 234,345 di Sarawak; 226,317 di Johor dan 200,512 di Perak.

“Bagi jumlah pendaftaran harian PICK pula telah mencecah 12.71 juta setakat semalam atau 52.40 peratus daripada populasi.

“Selangor masih negeri tertinggi yang mendaftar iaitu seramai 3.36 juta diikuti Johor (1.57 juta), Sarawak (1.25 juta) dan Kuala Lumpur (1.05 juta),” jelas beliau.

Tiada ulasan: