Jumaat, 18 Jun 2021

Semua juri, peserta ‘All Together Now Malaysia’ beri keterangan

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Program All Together Now Malaysia dihentikan siaran sementara waktu selepas didakwa melanggar SOP PKPP. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan 50 juri dan 25 peserta Program All Together Now Malaysia telah memberi keterangan bagi membantu siasatan berkenaan program itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, ketua dan pegawai penguatkuasaan Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua mereka telah dipanggil secara berperingkat untuk proses merakam keterangan sejak laporan polis pertama dibuat di Iskandar Puteri, Johor pada 8 Jun lalu.

“Kes itu kemudiannya telah diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Putrajaya.

“Tujuan kita memanggil ketua dan pegawai penguatkuasaan adalah untuk membuat pengesahan sama ada wujud atau tidak kesalahan berdasarkan bukti yang ada,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dibuat ke atas sebuah program hiburan syarikat televisyen swasta yang didakwa melanggar SOP PKP.

Siasatan awal mendapati penggambaran program itu dilakukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 Mac hingga 11 April lalu dengan merujuk SOP Sektor Industri Kreatif-Acara Langsung (PKPP) yang sedang berkuatkuasa ketika itu. – K! ONLINE

Tiada ulasan: