Ahad, 20 Jun 2021

Rakyat Malaysia suka bazir makanan?

Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Sebahagian besar rakyat negara ini didapati suka melakukan pembaziran makanan selain amat kurang membuat perancangan awal sebelum melakukan pembelian.

Dapatan tersebut diperoleh hasil kajian terbaharu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di seluruh negara baru-baru ini.

Menerusi Tinjauan Kesedaran dan Tingkah Laku Masyarakat Terhadap Amalan Menghargai Makanan Elak Pembaziran 2021, sejumlah 2,248 orang menjadi responden kajian tersebut.

“Hanya sebanyak 49.7 peratus responden itu mengakui tidak pernah melakukan pembaziran makanan dalam kehidupan seharian mereka,” jelas kenyataan SWCorp di sini semalam.

Ironi agensi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mendapati, sejumlah 99.5 peratus responden bersetuju masalah pembaziran tersebut sebenarnya boleh pun dielakkan.

Bagaimanapun kajian itu menunjukkan, 73.8 peratus responden berusaha secara amali untuk tidak membazir, tetapi 69.8 peratus responden sahaja menyimpan makanan dengan baik.

Keadaan itu ujar SWCorp, diburukkan lagi dengan cuma 49.8 peratus responden yang mengamalkan kaedah betul penyimpanan makanan dimasak secara first in first out (FIFO).

Kaedah tersebut yang disarankan pakar kesihatan seluruh dunia dengan makanan disimpan awal sepatutnya dikeluarkan terlebih dahulu dari peti sejuk untuk mengelak basi atau rosak.

“Dari segi kesedaran pula, 99.3 peratus responden mengesahkan mereka ada kesedaran mengenai aspek penyimpanan makanan tidak habis dimakan secara FIFO,” ujarnya.

Begitu juga tahap kesedaran dalam membuat senarai pembelian barang makanan yang dapat mengelak pembelian berlebihan dengan merekodkan 99 peratus responden bersetuju.

Namun dari segi praktikal, SWCorp mendedahkan hanya 65 peratus responden merancang pembelian dengan menyediakan senarai barangan sebelum memasuki premis peruncitan.

Lebih menyedihkan, tinjauan agensi itu mendapati cuma 48.4 peratus responden ada membuat perancangan awal sebelum pembelian manakala selebihnya membeli mengikut perasaan.

Sementara itu, dari segi kesedaran, 97.6 peratus responden bersetuju perancangan menu untuk dimasak di dapur akan membantu dalam mempengaruhi pembelian barang makanan.

SWCorp merumuskan bahawa majoriti masyarakat negara ini masih lagi mempunyai tahap kesedaran berkaitan nilai harga makanan demi mengelak pembaziran yang tidak sepatutnya.

Dianggarkan setiap hari, sebanyak 17 juta kilogram sisa makanan daripada sejumlah 38 juta bahan pepejal dibuang di seluruh Malaysia yang boleh memberi makan 2.2 juta orang miskin.

Secara purata, sebuah isi rumah terdiri daripada empat ahli keluarga membazirkan hampir satu kilogram makanan yang tidak dihabiskan ke dalam tong sampah di negara ini setiap hari. -UTUSAN

Tiada ulasan: