Ahad, 20 Jun 2021

Enam motosikal, dua kereta hangus

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
 
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di tempat meletak kereta dan motosikal di Kondominium Villa Emas di Bayan Lepas hari ini.

GEORGE TOWN – Penduduk di Kondominium Villa Emas, Bayan Lepas di sini cemas dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah kereta dan enam motosikal yang ditempatkan di bawah blok perumahan itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, sebahagian penduduk di blok berkenaan dikatakan turun ke bawah bagi menyelamat diri sejurus melihat asap tebal akibat kejadian itu.

Kenderaan yang terlibat adalah jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyoto Estima dan kereta Perodua Myvi serta enam motosikal yang diletakkan selari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Azrul Khairi Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.06 petang dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

“Kejadian disedari seorang wanita apabila ternampak api dari parkir berkenaan lalu memaklumkan kepada pengawal kondominium untuk tindakan segera.

“Api berjaya dikawal kurang 15 minit kemudian dan keadaan kenderaan dan motosikal didapati terbakar hampir keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran turut menyebabkan kediaman di tingkat atas tempat meletak kereta terbabit terjejas dengan kesan asap hitam.

Tambahnya, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba dan pihaknya akan meneliti sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi berhampiran. – K! ONLINE

Tiada ulasan: