Sabtu, 19 Jun 2021

Polis tahan 12 individu berkumpul untuk solat Jumaat

Oleh MASZUREEN HADZMAN
 

AMPANG : Tindakan kompaun dikenakan terhadap 12 individu termasuk warga asing kerana berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah premis perniagaan di Taman Nirwana di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30m tengah hari oleh sepasukan polis Ampang Jaya, kesemua individu terdiri daripada enam lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 12 lelaki berada dalam premis sedang berkumpul untuk mengadakan solat Jumaat.

Kata beliau, siasatan mendapati kesemua mereka adalah pekerja di premis itu bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo yang dimiliki warga tempatan.

“Semakan awal mendapati kesemua warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana menjalankan aktiviti tidak dibenarkan serta berkumpul dengan tidak menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah beliau, pemilik syarikat berkenaan dikenakan kompaun RM11,500 manakala pekerja tempatan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang.

“Enam warga asing ditahan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: