Sabtu, 19 Jun 2021

Inisiatif proaktif Ismail Sabri bantu negara hadapi pandemik

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
(Dari kiri) ABDUL RAHMAT OMAR, NASARUDDIN OTHMAN dan SHARUDDIN OMAR

PUTRAJAYA: Inisiatif Kementerian Pertahanan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19 merupakan langkah proaktif sebagai tanggungjawab mempertahankan negara dalam apa jua situasi.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, perkara itu boleh dilihat dengan tindakan kementerian bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membina enam buah lagi hospital medan di samping enam hospital itu yang kini sudah beroperasi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang; Kapit, Sarawak; Pokok Sena, Kedah; Kepala Batas, Pulau Pinang; Tawau, Sabah dan terbaharu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Menurut beliau, tindakan Ismail Sabri juga amat kreatif dalam menyesuaikan aset dan kepakaran ATM untuk membantu kerajaan dalam usaha mempercepatkan pemulihan rawatan kepada pesakit sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital-hospital awam.

“Apa yang dihasrat Ismail Sabri melalui salah satu inisiatif kementerian merupakan tindakan cukup baik bagi membantu kerajaan dan negara secara menyeluruh bagi mempercepat mengatasi masalah pandemik.

“Apa yang mampu dilaksanakan, saya yakin menteri mengambil kira kemampuan ATM atau kementerian secara keseluruhannya untuk mewujudkan hospital medan. Saya yakin tempat-tempat yang dicadangkan itu adalah bersesuaian di kawasan pedalaman yang mempunyai kepadatan penduduk yang sukar untuk mereka bergerak keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penglibatan Kementerian Pertahanan secara menyeluruh telah memberikan satu sumbangan besar dalam menghadapi ancaman negara iaitu tugas pasukan keselamatan bukan sahaja untuk berperang melawan musuh yang nyata tetapi bersedia mempertahankan serangan dalaman.

Menyokong pendapat sama, Presiden Persatuan Veteran Pasukan Khas Laut (Paskal), Laksamana Madya Datuk Nasaruddin Othman berkata, dalam ATM sendiri tersirat doktrin Military Operations Other Than War (MOOTW) iaitu operasi ketenteraan melangkaui peperangan yang bermaksud tugas-tugas sekunder ATM selain berperang.

Dalam memainkan peranan itu, beliau berkata, Ismail Sabri secara optimis menggerakkan kepakaran ketenteraan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Ismail Sabri telah melakanakan tugas dan tanggungjawab atas kapasiti jawatannya dalam memastikan kebajikan tentera termasuk bekas tentera seperti dalam program perumahan dan sebagainya sebagai menghargai jasa pasukan itu dalam menjaga keamanan negara.

“Beliau turut memastikan peranan pasukan tentera dalam memberi khidmat kepada masyarakat melangkaui sempadan tugas hakiki contohnya ketika mengadapi bencana alam, bantuan perubatan, menyediakan kemudahan asas seperti jambatan atau jalan raya yang rosak akibat banjir terutama di kawasan pedalaman seperti di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Cawangan Provos Marsyal Tentera Udara Malaysia (TUDM) Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berkata, sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga kini, pelbagai bantuan telah disalurkan terutamanya kepada bekas tentera yang terkesan akibat pandemik terutamanya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Kata beliau, walaupun Ismail Sabri tidak sempat mengenali ATM secara mendalam semasa mengambil alih tugas kerana terpaksa tumpukan perhatian terhadap pandemik, namun kebajikan bekas tentera tetap terjaga.

Berkenaan cadangan Ismail Sabri untuk penambahan enam buah hospital medan ATM selain enam yang sedia ada, katanya, ia merupakan langkah baik dalam usaha memerangi pandemik memandangkan ATM mempunyai pakar-pakar perubatannya tersendiri dan sudah tentu dapat meringankan beban Kementerian Kesihatan.

“Kalau ada penambahbaikan yang boleh saya cadangkan, elok sekiranya Veteran ATM dibenarkan untuk mendaftar dengan hospital dan rumah sakit ATM di seluruh negara untuk menerima vaksin kerana ramai yang sudah berumur dan mempunyai penyakit komorbiditi. Ini secara langsung dapat mempercepatkan kadar vaksinasi di negara kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: