Isnin, 21 Jun 2021

Peniaga berdepan karenah birokrasi bank untuk mohon moratorium – DPMS

IMG-20210322-WA0266
Bashir Ahmad Kassim

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu kerajaan melaksanakan segera moratorium secara automatik selama enam bulan kepada peniaga-peniaga perusahaan mikro.

Pengerusinya, Bashir Ahmad Kassim membuat rayuan itu kerana mendakwa institusi perbankan mengenakan beberapa syarat bagi membolehkan peniaga mikro mendapat moratorium.

Katanya, pihak bank mengenakan syarat wajib menunjukkan bukti peminjam hilang pendapatan semasa membuat permohonan moratorium tiga bulan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Namun, peniaga tiada mempunyai sebarang bukti yang boleh membuktikan mereka hilang pendapatan melainkan penyata bank dan rekod rekod dalaman perniagaan yang didakwa tidak diterima oleh pihak bank.

Menurutnya, kebanyakan peniaga kecil ini tidak ada slip gaji, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau surat dibuang kerja.

Ada pula peminjam yang dapat moratorium wajib bayar faedah setiap bulan, sedangkan ketika ini sebarang bayaran adalah beban kepada mereka.

”DPMS dimaklumkan ramai peniaga sudah tertekan dengan keadaan yang ada, ditambah dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri memaklumkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan sekarang akan berlarutan beberapa bulan akan datang.

”Saya juga merayu kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan segera moratorium secara automatik kepada semua peminjam,” tambahnya.

DPMS juga meminta kerajaan menyediakan peruntukan khas di bawah TEKUN Nasional (TEKUN) untuk membantu ahli-ahli yang terjejas untuk mendapatkan pinjaman modal pusingan tanpa faedah atau tawaran faedah yang rendah.

Ini penting untuk memastikan semua peniaga mempunyai tunai apabila perniagaan beroperasi semula.

Peniaga-peniaga pastinya perlu membayar kos-kos tertentu seperti sewa, bil utiliti, gaji dan bayaran lain sebagai kos operasi.

Bashir berkata, kerajaan perlu membantu menyelamatkan para peniaga kerana ianya membawa kesan langsung kepada ekonomi negara.

”Banyak rakyat akan kehilangan pekerjaan dan ramai peniaga terpaksa menutup perniagaan dan menjadi penghutang tegar.

“Jadi moratorium secara menyeluruh bukan sahaja akan menyelamatkan para peniaga dan rakyat dalam situasi yang ada hari ini, tetapi lebihan duit ditangan rakyat boleh digunakan untuk mengembalikan kitaran wang dalam pasaran perniagaan dan seterusnya menjana semula ekonomi negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: