Oleh KOSMO!
MANILA – Seorang pengantin wanita di Filipina tular kerana menyembunyikan seorang lelaki dalam gaun untuk memegang kain itu agar tidak terbang ditiup angin ketika majlis perkahwinannya, lapor akhbar Daily Star, kelmarin
Wanita itu bertindak demikian kerana rimas gaun kembangnya ditiup angin dan menyukarkannya berjalan di majlis perkahwinannya.
Rakaman insiden itu dimuat naik di laman sosial Facebook dan memaparkan pengantin perempuan itu sedang berjalan di karpet merah ketika angin kuat cuba menerbangkan gaun yang dipakainya.
Apabila tiba di altar perkahwinan, perakam video sempat merakam seorang lelaki tiba-tiba keluar daripada bawah gaun itu dan berjalan seperti tiada apa-apa berlaku.
Lelaki itu, Lunesa Roel yang juga perancang perkahwinan majlis itu rupa-rupanya bertindak bersembunyi di bawah gaun pengantin bagi memastikan kain itu tidak terselak dan merosakkan hari bahagia wanita tersebut.
Roel berkata dia gembira dapat membantu pengantin perempuan itu tetap tampil cantik ketika majlis persandingannya.
“Saya gembira dapat duduk di dalam gaun pengantin perempuan itu dan membantunya ketika dia bersanding di atas pelamin.
“Ketika angin bertiup kencang, saya terus pergi ke bawah gaun itu dan memegangnya supaya ia tidak terselak,” jelas Roel.
Video tersebut sudah ditonton lebih 1.7 juta kali sejak dimuat naik pada 8 Jun lalu dan netizen yang menontonnya rata-rata memuji kerja keras Roel.
“Tidak mengapa jika angin terus meniup gaun itu kerana kamu (pengantin perempuan) tetap kelihatan cantik ketika hari perkahwinan,” tulis seorang netizen. -Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan