Khamis, 17 Jun 2021

‘Kerajaan cukup faham denyut nadi rakyat, sedang kaji bantuan tambahan’, kata Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, berkata 
bantuan untuk rakyat masih ada kerana tidak semua peruntukan diumumkan 
sebelum ini telah dibelanjakan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang mengkaji dengan teliti langkah bagaimana kerajaan boleh memberi bantuan tambahan kepada rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan sedar sebahagian rakyat mengharapkan pengumuman pakej bantuan tambahan yang baharu, susulan pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Kerajaan cukup faham denyut nadi rakyat. Bantuan masih ada kerana tidak semua peruntukan yang diumumkan sebelum ini telah dibelanjakan.

“Perdana Menteri sudah mengarahkan Menteri Kewangan untuk mengemukakan cadangan, dan saya percaya beliau (Tengku Zafrul Abdul Aziz) sedang giat mengkaji cara-cara bagaimana kerajaan boleh memberikan bantuan tambahan (kepada rakyat),” katanya semasa temu bual dalam program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV, hari ini.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM380 bilion atau bersamaan 28% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menerusi pakej rangsangan ekonomi.

Mustapa berkata, setakat ini hanya lebih daripada RM200 billion sudah dibelanjakan dan masih terdapat baki.

Tiada ulasan: