Ahad, 20 Jun 2021

Penduduk gempar lihat bandar terapung

 Oleh KOSMO!

Gambar yang menunjukkan terdapat sebuah ‘bandar’ yang kelihatan seolah-olah sedang terapung di atas permukaan laut. - Arthur Scott/The News/Solent

LONDON – Penduduk sekitar pelabuhan Portsmouth gempar melihat pemandangan sebuah ‘bandar’ yang kelihatan seolah-olah terapung di tengah laut, lapor akhbar Daily Star semalam.

Beberapa gambar yang dikongsikan di laman sosial memaparkan sebuah bandar yang mempunyai bangunan-bangunan pencakar langit terapung di atas permukaan Lautan Atlantik tersebut.

Menurut seorang penduduk, Arthur Scott, dia merakam gambar pemandangan luar biasa itu yang menunjukkan bandar terapung itu berada hanya beberapa kilometer dari pantai.

“Ia kelihatan seperti sebuah bandar di Asia Timur. Itu yang saya boleh katakan.

“Kebelakangan ini, kerap berlaku fenomena fatamorgana seperti kejadian sebuah kapal kelihatan seolah-olah terapung di atas air, namun sebenarnya tidak.

“Namun, saya dapat melihat pemandangan bandar terapung itu lebih sejam, jadi ia tidak sama dengan kejadian kapal tersebut,” ujarnya.

Fenomena bandar terapung itu berlaku dua hari selepas beberapa keping gambar kapal HMR Prince of Wales menjadi tular kerana dilihat seolah-olah  sedang ‘terbang’ di pesisir pantai Devon.

Sementara itu, seorang ahli meteorologi, David Braine menjelaskan, fenomena seperti itu berlaku disebabkan oleh satu keadaan cuaca yang dikenali sebagai penyongsangan suhu, di mana udara sejuk berada berhampiran dengan laut di samping udara yang lebih panas di atasnya.

“Oleh kerana udara sejuk lebih padat daripada udara panas, ia membiaskan cahaya ke arah mata seseorang yang sedang berdiri di pantai.

“Keadaan itu seterusnya menukar pemandangan di mana objek yang berada jauh kelihatan lebih dekat,” katanya. – AGENSI 

Tiada ulasan: