KUALA KANGSAR: Seorang wanita rentung setelah van kilang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 53.8, Jalan Ipoh-Taiping berhampiran lampu isyarat Taman Bunga Raya, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.05 petang itu, mangsa, S. Rojamani, 38, yang tersepit di tempat duduk pemandu maut di tempat kejadian.
Nahas itu turut menyebabkan seorang penumpang wanita van tersebut berusia 20 tahun mengalami luka di kepala manakala lelaki berusia 28 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail dipandu pesara guru berusia 54 tahun dan van kilang dinaiki mangsa bersama dua pekerja kilang.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika SUV dipandu lelaki itu yang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Padang Rengas mahu membelok ke kiri menghala Jalan Haji Tais.
“Ketika kenderaan itu sedang membelok, van kilang yang berada di belakang tidak sempat berhenti lalu terlanggar bahagian belakang kanan SUV berkenaan.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan van itu terbalik dan melintang di tengah jalan sebelum terbakar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua penumpang van sempat keluar menyelamatkan diri namun pemandunya tersepit di dalam kenderaan yang sedang terbakar.
Katanya, kebakaran kenderaan itu berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba namun mangsa disahkan telah meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
“Dalam kejadian itu, pemandu SUV tidak cedera. Mangsa yang rentung telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala seorang pekerja kilang yang cedera turut dirujuk ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Ketika tiba di lokasi, van tersebut sedang marak terbakar di mana terdapat seorang wanita tersepit di bahagian pemandu.
“Operasi memadam kebakaran segera dijalankan sebelum mangsa dibawa keluar dari kenderaan namun disahkan maut dalam keadaan rentung,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan