Selasa, 15 Jun 2021

Isu Tasik Chini: Kerajaan Pahang yang sebelum ini berdegil akhirnya akur

Pemandangan Tasik Chini yang menerima kesan akibat aktiviti perlombongan. 
 
Kerajaan Negeri Pahang yang sebelum ini berdegil akhirnya akur untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu perlombogan di Tasik Chini yang diwartakan Tapak Rezab Biosfera (RB) Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan segera akan diambil bagi menangani perlombongan di Tasik Chini walaupun sebelum ini enggan melayan desakan orang ramai dan pertubuhan alam sekitar berhubung isu tersebut.

“Peluasan ini wajar bagi menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga dan memelihara serta memulihara alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.

“Ini juga dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenainya,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri sudah diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

Terdahulu,Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kawasan Hutan Simpan Chini di Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Tengku Hassanal menitahkan kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat mempertahankan pengiktirafan bertaraf dunia Tasik Chini sebagai permata alam sekitar di negeri ini dan Tapak Rezab Biosfera (RB) UNESCO yang pertama di negara ini.

Dalam kenyataannya kepada pemberita, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, Tengku Hassanal mengambil berat dan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga.

Isu Tasik Chini menjadi perhatian selepas pendedahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) berhubung kerosakan teruk akibat aktiviti perlombongan di Tasik Chini.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kononnya gambar kerosakan teruk di Tasik Chini adalah gambar lama.

Kerajaan Negeri Pahang dilaporkan meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat.

Tasik Chini dan kawasan sekitarnya diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera UNESCO pada 2009.

Tiada ulasan: