BERJASA minta menteri fokus isu depan mata dahulu
BANGI – Kebenaran merentas negeri hanya wajar dilaksanakan sekiranya semua individu yang berdaftar dalam aplikasi MySejahtera sudah mendapat slot janji temu suntikan vaksin masing-masing.
Menyuarakan pandangan itu, Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, perkara itu juga boleh dilakukan jika bekalan vaksin mencukupi.
“Saya kira kelonggaran ini hanyalah wajar sekiranya kita mempunyai bekalan vaksin yang sudah mencukupi.
“Ia termasuk jika semua individu yang sudah berdaftar dalam aplikasi MySejahtera sudah dapat janji temu masing-masing.
“Selagi masalah di atas tidak diselesaikan, mohon menteri fokuslah buat apa yang ada di hadapan mata dahulu,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sedang meneliti kelonggaran dan kebebasan yang akan diberikan kepada individu yang sudah melengkapkan vaksinasi termasuk kebenaran untuk merentas negeri.
Beliau berkata, perkara itu sedang diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan sains yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk diumumkan dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan