KEBENARAN merentas negeri merupakan antara beberapa kelonggaran yang sedang diperhalusi kerajaan terhadap mereka yang sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.
Menteri Penyelarasan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu akan dikemukakan jawatankuasa kumpulan kerja teknikal yang dianggotai oleh kumpulan pakar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, cadangan itu akan turut meneliti data-data diguna pakai negara-negara yang pada masa ini memberi beberapa kelonggaran kepada rakyat mereka.
“Jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan sains akan memperhalusi kumpulan kerja teknikal sebelum dikemukakan kepada MKN untuk diumumkan. Ini termasuk kelonggaran untuk rentas negeri,” katanya di sini hari ini.
Khairy dalam pada itu berkata, prestasi Malaysia bagi peratusan
penduduk yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19
adalah masih kompetitif.
Beliau menjelaskan, jika dibandingkan dengan negara-negara jiran dan maju seperti Jepun, Malaysia tidak jauh ketinggalan.
Ujarnya, ini di sebalik tindakan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kanada membolot pembelian vaksin Covid-19.
“Apabila perbandingan dibuat dengan negara Jepun yang jauh lebih maju, mereka masih lagi ketinggalan berbanding AS, UK dan Kanada. Kenapa? UK beli vaksin lima kali ganda penduduk mereka, Kanada juga sama.
“Selain itu, syarikat-syarikat pengeluar vaksin juga adalah dari UK dan AS, mereka mendapat akses yang mudah. Sekarang barulah mereka menawarkan bantuan melalui sumbangan.
“Kita juga akan terima sumbangan dari AS, Jepun dan China dalam masa terdekat,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan