Khamis, 3 Jun 2021

Pasangan ahli sukan tak boleh ikut ke luar negara

 Oleh MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

Hafizh bersama isterinya Suzana ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA- Mana-mana ahli sukan yang mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa secara ‘on and off’ tidak dibenarkan membawa pasangan semasa menyertai pertandingan berkenaan.

Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran keluar negara itu hanya diberikan kepada ahli sukan terbabit selain jurulatih serta kru profesional sahaja.

“Ahli sukan yang menyertai kejohanan secara ‘on and off’ dan tidak menetap di luar negara, tidak dibenarkan membawa pasangan semasa menyertai kejohanan.

“Hanya jurulatih dan krew profesional yang terlibat sahaja dibenarkan keluar bersama ahli sukan berkenaan,” katanya di sini tadi.

Katanya, kelulusan membawa pasangan hanya diberikan kepada ahli sukan yang menetap dan berpangkalan di luar negara sahaja seperti pelumba basikal dan pemain golf profesional.

“Dalam perkara ini JIM telah menjumpai beberapa kes penyalahgunaan kelulusan permohonan keluar negara melalui MyTravelPass (MTP) oleh warganegara Malaysia melalui semakan yang dijalankan di pintu masuk negara.

“Mereka menggunakan kelulusan tersebut dengan tujuan lain selain daripada kategori yang dibenarkan keluar negara,” jelasnya.

Terdahulu, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin meluahkan perasaan kecewanya di laman media sosial selepas isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf gagal mendapat kebenaran untuk terbang ke Itali. -K!ONLINE

Tiada ulasan: