Ahad, 13 Jun 2021

Muhyiddin puji program vaksinasi bergerak

 Oleh Ilah Hafiz Aziz

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak hari ini. Turut sama Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak hari ini. Turut sama Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan usaha Kementerian Wilayah Persekutuan mengadakan pemberian vaksin secara bergerak amat baik kerana memudahkan penduduk setempat khususnya warga emas.

Kata beliau, inisiatif Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah seperti yang dianjurkan di Perumahan Awam Seri Johor, Bandar Tun Razak, hari ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

"Rata-rata penerima vaksin yang mana sebahagian besarnya adalah warga emas ketika ditemui menzahirkan terima kasih atas usaha yang dilakukan.

"Selain memudahkan mereka divaksinasi, inisiatif Trak Vaksin Bergerak itu lebih 'mobile' dan boleh berada di kawasan yang disasarkan berbanding PPV biasa, sekali gus membantu mempercepatkan sasaran majoriti rakyat divaksinasi," katanya di Facebook hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) melihat proses pemberian vaksin kepada penduduk ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak hari ini. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) melihat 
proses pemberian vaksin kepada penduduk ketika melawat 
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan 
Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak hari ini. - foto 
BERNAMA

Beliau turut berkongsi rakaman video berdurasi lebih dua minit, sekitar lawatannya di pusat vaksinasi bergerak di Perumahan Awam Seri Johor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin juga menzahirkan keyakinan dengan kemudahan yang disediakan itu termasuk PPV biasa dan PPV mega yang sedang beroperasi di Lembah Klang mampu memastikan Wilayah Persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok atau lebih 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.

"Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta klinik kesihatan swasta dan petugas sukarela yang terbabit menjayakan inisiatif yang cukup baik dan amat membantu rakyat ini.

"Ini adalah antara usaha kerajaan dalam memastikan semua rakyat yang layak divaksinasi tidak tertinggal dari mendapat suntikan vaksin dengan cara menyenangkan atau memudahkan proses mereka untuk menerima suntikan," katanya.

Tiada ulasan: