Oleh Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Polis Kedah mengesan kes penipuan dan pemalsuan dokumen arahan menghadir diri yang dilakukan seorang lelaki bagi tujuan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata pengadu yang Inspektor adalah Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang berusia 35 tahun.
Pegawai polis terbabit menerima pesanan WhatsApp yang mana terdapat gambar surat rasmi panggilan saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
"Pengadu kemudian membuat semakan surat itu dan mendapati nombor rujukan JSJK/KS/146/2020 bertarikh 12 Mei 2021 dan surat itu pernah dikeluarkan oleh pegawai polis berkenaan kepada saksi yang beralamat di Ipoh, Perak untuk hadir bagi membantu siasatan kes yang sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Hasil semakan mendapati butiran penerima, butiran pegawai penyiasat dan tandatangan dalam surat itu sudah dikaburkan namun pengadu mendapati surat itu adalah atas nama individu yang beralamat di Johor yang dimuat naik dalam akaun WeChat ID atas nama Zhixian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Elias berkata, pengadu juga mendapati suspek turut membuat naik surat palsu itu ke akaun WeChat suspek yang mana dia menyatakan surat itu boleh digunakan untuk tujuan merentas negeri dalam tempoh perlaksanaan PKP 3.0. Surat itu juga dikesan dijual dengan harga antara RM300 hingga RM800.
"Pengadu mengesyaki suspek membuat pindaan ke atas butiran penerima dan memalsukan surat itu bagi tujuan penipuan. Pengadu membuat laporan polis pada 2 Jun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Suspek ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 3 Jun lalu. Suspek lelaki yang berusia 23 tahun beralamat di Taman Maju, Jasin Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan