KUALA LUMPUR – Peperiksaan bertulis bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 akan bermula pada Mac 2022, kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin.
Pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi medium penyiaran pagi ini, beliau berkata, bagi ujian lisan dan amali Sains akan bermula Februari 2022 termasuk yang menduduki Sijil Vokasional Malaysia (SVM)atau setara dengannya.
Katanya, SPM 2020 adalah tempoh pelaksanaan amat mencabar dan tidak berlaku dalam sejarah pemerintahan sejak merdeka, yang menyaksikan kerajaan terpaksa menukar atau menunda tarikh banyak kali, sebelum ia menjadi kenyataan.
“Dari tarikh asal, kita anjak ke bulan lain, kemudian apabila keadaan pandemik Covid-19 tidak berubah, kita terpaksa tunda ke tahun berikutnya dan akhirnya kita dapat lakukan juga.
“Begitu juga dengan SPM 2021 ini, terpaksa diadakan pada awal tahun depan dan kita akan gunakan SOP ketat yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan penjarakan 1.5 meter, penambahan bilik serta mengasingkan calon yang ada simpton batuk, demam dan sebagainya.
“Jumlah petugas juga akan ditingkatkan, yang mana pada SPM 2020, kita guna khidmat 48,000 orang. Ini untuk memastikan peperiksaan itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau juga berkata, pengalaman mengendalikan SPM 2020 akan diterapkan pada SPM 2021 sekiranya keadaan jangkitan Covid-19 masih ditahap membimbangkan.
Menurutnya, kaedah sama juga mungkin digunakan dalam pemeriksaan kertas yang sebelum ini dibuat secara atas talian ke atas lebih lima juta kertas peperiksaan SPM 2020.
“Betapa sukarnya mereka berdepan dengan situasi ini, tetapi mereka berjaya dan dapat selesaikan tugasan sehingga keputusan SPM 2020 keluar jauh lebih awal dari sebelumnya,” katanya.
Mengenai program imunisasi dalam kalangan guru, Dr. Mohd Radzi berkata, sehingga kini kira-kira 70,000 guru sekurang-kurangnya sudah mendapat satu dos suntikan vaksin.
Katanya, sehingga sesi persekolahan dibuka akhir Julai ini, beliau telah berbincang dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin untuk meningkatkan imunisasi para guru di seluruh negara.
“Dalam tempoh ini, sekolah tidak akan dibuka. Pengajaran akan dilaksanakan secara PdPR sehingga akhir Julai. Oleh itu, kita akan usaha untuk tingkatkan imunisasi di kalangan guru,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi guru yang perlu hadir ke sekolah untuk
urusan penting perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan
Negara (MKN) untuk meluluskan pergerakan mereka. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan