Selasa, 8 Jun 2021

Hantaran tular polis kompaun disiasat

 Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat satu hantaran di Facebook yang tular mengenai tindakan kompaun terhadap lapan individu yang berjoging di Taman TAR, Ampang di sini semalam.

Insiden berlaku apabila sepasukan polis dari Balai Polis Hulu Kelang menjalankan Pemantauan Ops Covid-19 PKP 3.0 di Trek Joging Jalan 1 Taman TAR, Ampang dan mendapati lebih kurang 30 individu sedang berjoging.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil pemeriksaan mendapati pihak polis mengeluarkan kompaun kepada lapan Orang Kena Kompaun (OKK) kerana berjoging di luar kawasan kejiranan serta tidak mengikut alamat tempat tinggal.

Katanya, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 17 P.U (A) 243/2021 Peraturan-Peraturan Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Siasatan dibuat itu berhubung seorang lelaki memuat naik status yang berunsur fitnah dan jelek kepada pegawai kompaun berkenaan.

“Pengadu yang juga pegawai kompaun terbabit membuat laporan polis selepas terbaca kes tular yang menfitnahnya secara tidak berasas dan mengundang persepsi negatif orang ramai kepadanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tambahnya, polis menyeru orang ramai sentiasa patuh dengan peraturan ditetapkan dan menyemak status SOP terbaru dengan Majlis Keselamatan Negara.

“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa status atau komen dalam media sosial dan perlu bertanggungjawab dengan tindakannya sekiranya ia menyinggung mana-mana pihak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: