Selasa, 8 Jun 2021

1,214 individu degil ingkar SOP, rekod tertinggi

 Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam memecah rekod tertinggi untuk tahun ini dengan 1,214 individu diberkas semalam berbanding 982 individu dicekup kelmarin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut jelasnya, seramai 1,107 dikompaun manakala 107 lagi direman hasil pemantauan yang melibatkan 86,714 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi kali ini ialah sebab gagal patuh jarak fizikal iaitu 267 kes diikuti tidak memakai pelitup muka dengan 224 kes, gagal merekod butiran diri di premis (158), tidak patuh arahan PKP (134), membawa penumpang berlebihan (103), aktiviti pusat hiburan (24) dan lain-lain lagi (304),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seramai 11 pendatang tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 195 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui tujuh aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.

Katanya, seramai 703 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin dengan ejumlah 9,163 individu masih lagi berada di pusat kuarantin seluruh negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Politeknik Sultan Azlan Shah bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa hingga 22 Jun ini berikutan terdapat 37 kes positif wabak itu.

Turut dikenakan PKPD secara serentak pada tarikh yang sama ujar beliau, ialah tujuh lagi lokaliti berbeza di seluruh Sabah iaitu di daerah Tawau melibatkan Kampung Tanjung Batu Darat, Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah, Taman Megah Jaya dan Jalan Budi, Sri Tanjung selain Taman Perdana di daerah Lahad Datu yang sudah pun mencatatkan sebanyak lapan kes positif Covid-19 daripada 66 ujian saringan.

Tidak ketinggalan dikenakan PKPD di negeri itu jelas Ismail Sabri lagi, ialah Kampung Narandang di Bahagian Kudat yang merekodkan 16 kes daripada 31 ujian saringan dibuat.

Bagaimanapun ujarnya, PKPD membabitkan tiga lokaliti berlainan di Sabah akan berakhir pada esok seperti dijadualkan meliputi kawasan Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau di Daerah Putatan, Bahagian Pantai Barat serta Kampung Sungai Imam, Bahagian Tawau.

“Turut ditamatkan PKPD secara serentak pada esok ialah empat lokaliti di Pahang antaranya tiga mukim dalam Daerah Lipis iaitu Kuala Lipis, Penjom dan Budu termasuk Bandar Triang, Daerah Bera. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: