Selasa, 22 Jun 2021

Graduan pendidikan jadi keutamaan

 Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Mohd. Radzi

PUTRAJAYA – Graduan pendidikan akan diberikan keutamaan dalam pengambilan khas secara ‘one-off’ seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan, semalam.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada calon yang memenuhi kriteria ditetapkan dan berjaya dalam semua tapisan yang akan dilaksanakan.

“Saya dapati ada luahan kegusaran dalam ruangan komen Facebook berkaitan pengumuman pengambilan guru secara one-off yang saya umumkan semalam.

“Luahan tersebut menggambarkan seolah-olah ambilan guru secara one-off ini tidak mengutamakan graduan pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, perkara berhubung keutamaan terhadap graduan pendidikan sudah dijelaskan ketika sidang akhbar semalam.

Radzi berkata, sekiranya calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen, maka urusan pengambilan akan diperluaskan kepada graduan bukan pendidikan tertakluk kepada kesesuaian. – K! ONLINE

Tiada ulasan: