Khamis, 17 Jun 2021

27 calon STAM peroleh gred 10 Mumtaz

Seramai 27 calon STAM 2020 memperoleh keputusan Gred 10 Mumtaz. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

SERAMAI 27 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 memperoleh gred 10 Mumtaz atau cemerlang.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, Indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang direkodkan pula adalah 3.04.

Menurut Pkharuddin, adalah tidak relevan untuk membandingkan keputusan kali ini dengan tahun sebelumnya memandangkan pelaksanaan format baharu peperiksaan bermula 2020.

“Ini tidak akan memberi kesan besar dari segi kesediaan tempat di universiti kerana mereka memiliki peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan STAM 2020, yang diadakan secara online hari ini.

Seramai 5,574 calon menduduki STAM pada tahun 2020.

Pada peperiksaan STAM 2019, seramai 41 calon memperoleh gred 10 Mumtaz.

Sijil STAM terbahagi kepada empat gred iaitu Mumtaz (cemerlang), Jayyid Jiddan (Sangat Baik), Jayyid (Baik) dan Maqbul (Lulus) serta calon perlu sekurang-kurangnya mendapat gred Maqbul dalam 10 mata pelajaran untuk dianugerahkan sijil.

Secara keseluruhan, seramai 442 calon atau 7.9 peratus memperoleh keputusan Mumtaz; seramai 1,226 calon (22 peratus) Jayyid Jiddan; Jayyid (1,758 calon atau 31.5 peratus); Maqbul (230 calon atau 4.1 peratus) dan calon tidak layak sijil seramai 1,918 calon atau 34.4 peratus.

Beliau berkata, ini menjadikan seramai 65.6 peratus calon layak mendapat sijil, selain menyatakan walaupun berhadapan cabaran pandemik COVID-19, rekod kehadiran calon STAM 2020 adalah tertinggi dalam tempoh empat tahun, iaitu 83.39 peratus.

Sijil STAM melayakkan calon untuk memohon bagi mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Semakan keputusan boleh dilakukan menerusi SMS dengan menaip STAMNoKadPengenalanAngkaGiliran dan hantar kepada 68886.

Tiada ulasan: