PETALING JAYA: Seramai 11 individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap ‘Geng 35’ ditahan di Kulim semalam selepas video mereka berkumpul menyambut Hari Bapa tular.
Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, video berdurasi 44 saat di aplikasi ‘TikTok’ itu memaparkan seorang individu sedang memotong kek berbentuk nombor ‘35’ di sebuah rumah.
Kamarul Zaman berkata, video terbabit turut memaparkan seramai 15 individu berkumpul di dalam sebuah rumah tanpa penjarakan fizikal.
“Hasil risikan mendapati kejadian berlaku di rumah salah seorang suspek yang meraikan sambutan Hari Bapa.
“Ia jelas melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2021 dan laporan polis dibuat sejurus selepas itu,” katanya menurut laporan Bernama.
Susulan itu katanya, suspek yang berusia 26 hingga 61 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.
Katanya, beberapa barangan seperti telefon bimbit dan cincin milik suspek turut dirampas dan semua suspek dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan