Rabu, 3 Februari 2021

Talian Kasih 15999 ‘penyelamat’ masyarakat cakna

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
 

PUTRAJAYA: Data Talian Kasih 15999 menunjukkan berlaku peningkatan mendadak bagi jumlah panggilan pada 2019 iaitu 25,868 kepada 153,024, tahun lalu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan itu berlaku ekoran peluasan skop perkhidmatan iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi WhatsApp.

Menurut kenyataan itu, peningkatan tersebut juga membuktikan bahawa Talian Kasih memainkan peranan dominan untuk mendengar keluh kesah rakyat sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Talian bebas tol ini yang beroperasi 24 jam sehari, 365 hari setahun adalah talian integrasi yang merupakan penghubung antara kumpulan sasar dengan pihak kementerian bagi tujuan pertanyaan, aduan dan pemohonan bantuan.

“Ia diwujudkan bagi menangani isu berkaitan kumpulan sasar kementerian antaranya penderaan kanak-kanak dan wanita, kaunseling, gelandangan, perlindungan, kebajikan, pembuangan bayi, perkhidmatan kesihatan reproduktif, masalah sosial remaja, mangsa bencana, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan isu pemerdagangan orang,” jelas kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menyebut, berdasarkan statistik sejak penubuhannya pada 2015, sejumlah 243,876 panggilan direkodkan dan dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Penambahbaikan sistem perkhidmatan Talian Kasih sedang dilaksanakan oleh kementerian untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Orang ramai digesa memanfaatkan talian ini dalam usaha mewujudkan masyarakat yang cakna dengan persekitaran termasuk isu penderaan kanak-kanak yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: