Jumaat, 26 Februari 2021

Tanpa tunjuk waran pun Sajjad boleh ditangkap – Pengarah JAIS

MGF16122019_SAJAT_04

KUALA LUMPUR – Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) boleh menahan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman meskipun tanpa menunjukkan waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Muhammad Sajjad atau lebih dikenali Nur Sajat boleh ditangkap oleh salah seorang daripada 122 penguatkuasa JAIS meskipun tidak mempunyai waran tangkap.

“Sebenarnya Muhammad Sajjad ini tidak faham ataupun tidak rujuk undang-undang Syariah Selangor sebelum mempersoalkan bidang kuasa JAIS.

“Mengikut Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, mana-mana pegawai penguatkuasa agama atau pegawai masjid boleh, tanpa peritnah daripada hakim atau tanpa waran menangkap.

“(c) mana-mana orang yang terhadapnya waran yang telah dikeluarkan di bawah enakmen ini masih berkuatkuasa, walaupun waran itu tidak ada dalam milikannya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, Muhammad Sajjad mempersoalkan kenyataan Mohd Shahzihan yang mengerahkan 122 penguatkuasa JAIS untuk memburu usahawan kosmetik itu di seluruh Selangor.

Sajjad juga mempertikaikan bidang kuasa penguatkuasa JAIS yang tidak boleh menahannya tanpa membawa atau menunjukkan waran tangkap terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadapnya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan bahawa JAIS telah mengerahkan kira-kira 122 pasukan penguatkuasanya untuk mencari dan menangkap Muhammad Sajjad selepas menerima waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Rabu.

Ia susulan kegagalan Muhammad Sajjad, 36, menghadiri prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik itu atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad itu dikeluarkan Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan berpakaian menyerupai wanita dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat kira-kira pukul 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: