Selasa, 23 Februari 2021

Hina mahkamah: Mkini Dotcom bayar denda RM500,000

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Premesh Chandran menjelaskan denda itu 
hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal berita Malaysiakini membayar denda RM500,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Mkini Dotcom yang diwakili peguam A Surendra Ananth, ketika dihubungi mengesahkan denda itu dibayar di kaunter mahkamah hari ini.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Premesh Chandran pergi ke Istana Kehakiman untuk membayar denda itu.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin (22 Feb).

Mkini Dotcom didenda RM500,000 oleh panel tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf kerana menghina mahkamah selepas mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan lima komen pembaca terhadap syarikat itu telah dibuktikan.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

Dalam keputusan majoriti 6-1, Hakim Rohana berkata Mkini Dotcom mempunyai kawalan penuh terhadap bahan yang boleh dan tidak boleh diterbitkan, justeru ia harus bertanggungjawab terhadap risiko yang menyusul daripada cara platformnya dioperasikan.

Beliau berkata syarikat itu mempermudah penerbitan komen menghina oleh pihak ketiga, pelanggan.

Hakim lain yang bersetuju dengan keputusan majoriti ialah Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan yang membuat keputusan menentang merumuskan, Mkini Dotcom serta Gan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah kerana pemohon (Peguam Negara) gagal membuktikan melangkaui keraguan munasabah bahawa mereka (responden) memiliki pengetahuan tentang kewujudan komen pihak ketiga serta dengan sengaja berniat menyiarkan komen-komen tersebut.

Pada 17 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.

Pada 2 Julai tahun lepas, Mkini Dotcom dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh oleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadap mereka.

Dilaporkan syarikat itu berjaya mengumpulkan lebih RM500,000 melalui sumbangan orang ramai.

Tiada ulasan: