Rabu, 24 Februari 2021

Polis kenal pasti identiti mayat warga emas ditemui di hadapan sekolah

 Adie Sufian Zulkefli

Polis kenal pasti identiti mayat warga emas ditemui di hadapan sekolah
Warga emas yang dijumpai mati dengan kesan kecederaan parah pada bahagian 
leher di kawasan SK Suka Menanti semalam dikenal pasti sebagai Chua Hock 
Soon @Chua Leok Eng, 70 tahun. --fotoBERNAMA
 
ALOR SETAR: Polis telah mengenal pasti identiti warga emas yang ditemui mati dengan kecederaan parah pada leher, disyaki dibunuh, sebelum mayatnya ditemukan orang awam di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Chua Hock Soon @Chua Leok Eng, 70 tahun, dipercayai beralamat di Jalan Simpang Empat, Alor Setar.
 
Manakala, suspek yang berusia 30-an pula berasal dari Perumahan Awam Mergong.
 
Bagaimanapun pihak polis masih menjalankan siasatan berkaitan motif sebenar pembunuhan.
 
Kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
 
Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan di Lebuhraya Sultan Abdul Halim.
 
Sejurus kemudian, satu mayat lelaki warga emas ditemui di hadapan sekolah tersebut dalam keadaan berlumuran darah.
 
Susulan itu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan orang awam di kawasan Taman Wira Mergong selepas kereta Proton Saga yang dipandunya melanggar seorang penunggang motosikal di kawasan perumahan itu.
 
Suspek yang dalam keadaan khayal itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan lelaki warga emas itu.
 
Ahmad Shukri berkata semalam, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) dipercayai telah mati sebelum dibuang ke kawasan berkenaan.

Tiada ulasan: