Jumaat, 26 Februari 2021

Tiga sumber tentukan vaksin halal, harus

KUALA LUMPUR: Tiga sumber akan menentukan hukum pengambilan vaksin adalah harus.

Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata jika terdapat bukti yang mengatakan vaksin itu najis, maka ia perlu dibuktikan dengan fakta saintifik dan bukannya tanpa berfikir panjang.

Beliau berkata, penentuan hukum penggunaan vaksin bukan saja dibuat oleh mufti malah turut membabitkan kajian saintifik oleh pakar bagi menentukan kandungan dalamnya.

"Pertama, ada tak sumber haiwan yang tak disembelih? Kedua, ada tak khinzir dalam itu. Ketiga, kalau ada bahan yang boleh datangkan mudarat dan boleh menjadikannya haram.

"Konklusi dan hukum vaksin haram, asalnya harus. Hukum asalnya haram, ada tak ketiga-tiga sumber tadi?

"Kementerian Kesihatan (KKM) sudah maklumkan tiada sumber haiwan. Jadi terbatal satu perkara. Kalau betul ada babi sila buktikan. Kalau KKM cakap tak ada, farmaseutikal cakap tak ada maka yang kedua, tak ada mengandungi khinzir. Ketiga, ada tak sumber boleh mendatangkan mudarat seperti bahan kimia?

"KKM sudah buktikan dan kajian dibuat di luar negara juga terbukti. Jangan khuatir. Kita pegang apa yang difatwakan oleh mufti. Balik kepada asas, kalau mufti cakap halal, ia halal. Kalau KKM cakap harus, haruslah. Halal Insya-Allah," katanya pada Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk 'Vaksin Cegah Sebelum Kalah', malam tadi.

Menyentuh mengenai aspek untuk menentukan suatu hukum membabitkan halal atau haram, Mohd Izhar berkata terdapat beberapa perkara perlu difahami.

Beliau menegaskan, ia perlu merujuk apa terkandung dalam al-Quran, sunnah dan pakar.

"Konsep awal, hendak halalkan apa sahaja sesuatu perkara mesti perlu ada dalam al-Quran. Kalau tak ada dalam al-Quran mesti rujuk pakar sebab pakar yang tahu. Kalau nak haramkan suatu perkara yang telah dihalalkan pun, kena rujuk al-Quran dan sunnah. Maknanya, apa-apa pun semua mesti ada konsep itu.

"Yang kedua, kita nak haramkan suatu produk sebab kaedah jelas. Asal pada setiap makanan itu adalah harus termasuklah vaksin, kepenggunaannya dan ini dipersetujui oleh keempat-empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali. Perkara ini semua orang bersetuju," katanya.

Tiada ulasan: