Sabtu, 27 Februari 2021

Tulis surat jika anak tak dapat ke sekolah, menteri beritahu ibu bapa

Radzi Jidin (kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat 
Kesihatan Putrajaya, Presint 11 hari ini sambil disaksikan Pegawai 
Kesihatan Daerah Putrajaya, Dr Zainal Abidin (kanan). (Gambar 
Bernama)
 

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Radzi Jidin meminta ibu bapa menulis surat kepada pihak sekolah yang akan dibuka semula Isnin ini, jika tidak dapat menghantar anak ke kelas atas faktor kesihatan.

“Ibu bapa harus menulis surat kepada pihak sekolah berserta dokumen sokongan untuk rekod, jika tidak dapat menghantar anak ke sekolah atas sebab tertentu seperti kesihatan,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama lima guru di Pejabat Kesihatan Putrajaya di Presint 11.

Beliau berkata, sesi persekolahan secara bersemuka wajib untuk semua pelajar dan Kementerian Pendidikan akan memastikan semua sekolah mematuhi SOP ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelajar.

Terdahulu, Radzi mengesahkan lima guru antara 55,539 guru berisiko tinggi bakal menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau turut menggesa semua 500,000 guru di seluruh negara segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Ketika disuntik (vaksin), tidak rasa apa-apa. Alhamdulillah, semuanya baik. Semua rakyat Malaysia perlu mengambil ruang ini untuk mendaftar segera melalui MySejahtera supaya proses vaksinasi dapat berjalan lancar.”

Tiada ulasan: