Rabu, 24 Februari 2021

Muhyiddin, Dr Noor Hisham selesai terima vaksin

ainulillia

PM bakal terima suntikan vaksin dos kedua pada 17 Mac

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sebentar tadi.

Beliau diberikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 11, di sini.

Turut sama menyertai Muhyiddin untuk mendapatkan vaksin pertama adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas barisan hadapan yang lain.

Mereka dibenarkan keluar setelah berehat dan menunggu di bilik pemerhatian selama 15 minit, di mana pegawai kesihatan akan memantau tindak balas alergi terhadap suntikan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, PM akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dos kedua pada 17 Mac, nanti. 

Terdahulu, beliau berkata, keputusan kerajaan untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai orang pertama menerima vaksin, adalah bagi memberi keyakinan kepada rakyat negara ini.

Malaysia mula menerima vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada Ahad dengan jumlah 312,390 dos.

Syarikat farmaseutikal itu dilapor akan membuat penghantaran setiap minggu bagi memenuhi keperluan serantau.

Setakat ini, seramai 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama.

Tiada ulasan: