Oleh Fahmy A Rosli
KUALA LUMPUR: Lambakan media sosial mewujudkan dunia tanpa sempadan sehingga maklumat tidak sahih mudah ditularkan dan diterima 'bulat-bulat' tanpa memeriksa kesahihan sumber serta fakta berita berkenaan.
Pendakwah, Firdaus Wong Abdullah, berkata orang ramai kemungkinan lebih senang terpengaruh atau mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan oleh individu yang memiliki pengikut ramai atau lebih dikenali sebagai 'influencer'.
Beliau berkata, pengguna media sosial sekarang mempunyai pemikiran bahawa jika seseorang itu memiliki pengikut yang ramai, apa saja maklumat disampaikan oleh individu terbabit benar belaka.
"Lambakan media sosial membenarkan orang untuk beri komentar walaupun mereka bukan pakar.
"Jika lihat hari ini, ada pemilik akaun media sosial mempunyai 1,000 pengikut. Bila dia bercakap berdasarkan populariti dan orang akan sangka dia mungkin betul kerana dia ramai pengikut di Instagram atau dekat Facebook.
"Saya percaya, apa yang dikongsi oleh influencer ... kita perlu sangka baik, kita kena niat baik. Mereka mungkin rasa maklumat yang betul tetapi berdasarkan pengalaman saya, kena pergi (rujuk) kepada orang yang lebih pakar. Kalau kamu tak tahu tanyalah kepada yang pakar," katanya dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk 'Vaksin Cegah Sebelum Kalah', malam ini.
Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, berkata Islam mengajar manusia supaya 'tabbayun' dan 'tassabut' yang bermaksud perlu selidik dan pastikan berita yang diterima terlebih dahulu.
Apabila menerima maklumat yang tidak pasti kesahihannya, beliau berkata, perlu tenang, jangan tergopoh-gapah dan jangan tergesa-gesa cepat menerima berita.
"Apabila masuk berita dalam group (kumpulan) WhatsApp, kita tanya dapat dari mana? Betul ke apa disampaikan? Kadang-kadang kita pelik orang nak sebarkan berita gunakan intro (ayat pemula) macam 'okay'. Seperti mohon pencerahan. Tetapi tak cerah, semua jadi gelap.
"Sebab itu, penting untuk kita ambil yang dicontohkan kepada Nabi SAW. Kalau dapat boleh baca tetapi disuruh kepada kita untuk selidik dan pastikan (terlebih dahulu). 'Tabayyun' dan 'tassabut' adalah akhlak nabi dan anbiya.
"Perkara pentingnya adalah minta buktikan. Kedua, kena 'husnuzon' dengan cerita yang berlegar. Ketiga kembali kepada pihak berautoriti. Terakhir, kita kena ingat apakah akibat yang kita akan dapat kalau sebar perkara dusta dan tidak betul. Maka ini kena perlu lakukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan