Dua NGO yang memperjuangkan hak imigran menggesa kerajaan mendedahkan senarai 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang semalam dan apakah mereka dijamin selamat apabila tiba ke negara itu.
NGO berkenaan juga menggesa kerajaan memberi akses segera kepada agensi pelarian PBB, UNHCR untuk memastikan sekiranya ada di kalangan mereka adalah pencari suaka.
Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia hari ini berkata, pihaknya belum memutuskan apakah akan membuat permohonan penghinaan mahkamah terhadap Jabatan Imigresen.
Pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv berkata mereka lebih bimbang mengenai individu yang dihantar pulang dan tahanan yang tinggal.
"Berkenaan proses penghinaan atau perkara seumpama itu, ini memerlukan semakan lebih lanjut. Tapi kerana ada nyawa yang berpotensi berisiko sekarang, keutamaan mendesak kita adalah untuk menumpukan perhatian kepada mereka yang dihantar pulang.
"Apa terjadi bila mereka tiba di sana? Apa yang berlaku kepada individu yang tinggal (di pusat tahanan)? Perlu diingatkan ada warganegara Myanmar lain di pusat tahanan (juga).
"Dan itulah sebabnya mengapa akses UNHCR sangat penting, ini tidak boleh ditangguh-tangguh lagi ," katanya pada sidang media dalam talian.
Sebelum ini dilaporkan seramai 1,200 warga Myanmar dihantar pulang ke negara mereka. Namun imigresen semalam berkata hanya 1,086 warga Myanmar dihantar pulang.
Penghantaran pulang itu dibuat meskipun selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan penangguhan sementara pelaksanaannya.
Penangguhan tersebut dilanjutkan hari ini sehingga 9 Mac bagi memutuskan sama ada untuk membenarkan Amnesty International dan Asylum Access meneruskan semakan kehakiman atau tidak.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud semalam berkata kesemua 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang adalah pendatang tanpa izin dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.
Bagaimanapun UNHCR tidak bersetuju dengan kenyataan itu dan mengatakan mereka dilarang bertemu dengan tahanan.
Justeru, Katrina meminta Jabatan Imigresen menjelaskan keseluruhan proses pengusiran tersebut, yang menurutnya "diselubungi kerahsiaan".
Dia meminta kerajaan mendedahkan maklumat mengenai mereka yang dihantar pulang dan alasan mengapa jabatan itu tidak menghantar pulang 114 lagi tahanan.
"Kerajaan Malaysia perlu memberitahu kami mengenai identiti dan status (individu yang dihantar pulang), bagaimana pertimbangan itu dibuat dan mengapa ada yang dihantar pulang dan ada yang tidak, " katanya.
Pengarah eksekutif Asylum Access, Tham Hui Ying memberitahu sidang media yang sama bahawa mereka mengesyaki "kira-kira 18 kanak-kanak", yang berumur seawal tiga tahun, berada dalam senarai asal yang dihantar pulang ke Myanmar.
Mereka juga mengesyaki kebanyakan kanak-kanak di bawah umur tidak didampingi oleh kedua ibu-bapa mereka.
"Menurut maklumat yang kami ada, kebanyakan, jika tidak semua kanak-kanak salah satu atau kedua ibu bapa (yang) mereka masih di Malaysia ," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan