PETALING JAYA: Dua doktor perubatan memfailkan saman terhadap sebuah universiti swasta atas kecuaian, memberi gambaran salah dan pelanggaran kontrak kerana memberikan ijazah yang tidak membenarkan mereka mengamalkan perubatan di Malaysia.
Dr Amardas Singh Sandu dan Dr Liew Mee Yew berkata, selepas menamatkan kursus akhir tahun lalu, mereka mendapati ijazah mereka tidak diwartakan di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971.
Plaintif, yang memfailkan saman melalui Tetuan Arnold Andrew & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam awal minggu ini, menamakan Prof Dr Shahjahan Mohamed Yasin, ketua Jeffrey Cheah School of Medicine and Health Sciences, sebagai defendan pertama.
Defendan kedua adalah Prof Andrew Walker, manakala presiden dan naib canselor Universiti Monash Malaysia dinamakan sebagai defendan ketiga.
Monash University Malaysia Sdn Bhd dinamakan defendan keempat.
Tanpa mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), pelajar juga tidak dapat memohon menjadi doktor pelatih di hospital kerajaan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka yang dilihat FMT, Amardas dan Liew, pemegang biasiswa kerajaan, berkata mereka menerima tawaran melakukan program Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) selama lima tahun di Universiti Monash Malaysia pada 2016.
FMT difahamkan kira-kira 120 pelajar lain yang menerima tawaran serupa pada tahun itu juga berada dalam situasi sama seperti Amardas dan Liew.
Kedua-duanya berkata, pada tahun ketiga program itu, mereka dimaklumkan ijazah baru – Sarjana Muda Sains Perubatan dan Doktor Perubatan (MD) – yang bernilai lebih tinggi akan diberikan kepada mereka.
Tetapi, mereka perlu menulis satu kertas penyelidikan tambahan yang dipersetujui plaintif.
Mereka berkata, terdapat pemahaman tersirat iaitu selepas menamatkan pengajian, mereka layak memohon MMC atau mendapatkan lesen sementara untuk mengamalkan perubatan.
Sejurus menamatkan ijazah tahun lalu, mereka ke MMC dan mendapat tahu ijazah itu tidak diwartakan.
Mereka memaklumkan Shahjahan, yang turut terkejut, tetapi defendan memilih menawarkan ijazah serentak – MBBS dan MD untuk menyelesaikan masalah mereka.
Amardas dan Liew berkata, tindakan defendan adalah kecuaian, memberi gambaran salah dan pelanggaran kontrak.
Mereka menuntut ganti rugi dan kehilangan pendapatan berjumlah RM1 juta serta faedah pada kadar 5% dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Peguam Kiranjeet Kaur Sidhu, yang mewakili plaintif, berkata kertas kausa sudah dihantar kepada defendan.
Beliau berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 25 Mac di depan pendaftar mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan