Jumaat, 26 Februari 2021

Rasuah: Penolong pegawai pejabat tanah ditahan

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai pejabat tanah daerah ditahan bagi membantu siasatan berhubung meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan proses permohonan tanah Januari lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Selangor kira-kira pukul 3.45 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah meminta wang sebanyak RM20,000 daripada seorang individu bagi permohonan tanah Januari lalu.

Sumber berkata, suspek meminta RM10,000 sebagai pendahuluan dan pembayaran selebihnya selepas mendapatkan kelulusan permohonan tersebut. 

Difahamkan, individu terbabit telah memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun bank suspek.

“Suspek juga dipercayai turut meminta RM8,000 daripada individu lain bagi proses yang sama,” jelas sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelasnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: