KUANTAN: Minat dalam bidang pertanian mendorong seorang doktor gigi mengusahakan tanaman terung mini F1 323 menggunakan teknik fertigasi di Felda Bukit Sagu Satu, dekat sini.
Projek perintis itu membabitkan sebanyak 2,000 pokok yang mula diusahakan akhir tahun lalu dan kini mula mengeluarkan hasil memuaskan apabila setiap minggu, tujuh tan buah dapat dikeluarkan.
Dr Amin Fauzi Abdul Halim, 32, berkata tanpa pengalaman dalam bidang pertanian tidak bermakna dia tidak boleh terbabit dalam projek pertanian.
Katanya, berbekalkan modal sebanyak RM30,000 dia menyediakan semua peralatan diperlukan seperti sistem paip, tangki baja dan pondok simpanan termasuk bilik tempat tinggal.
Bagaimanapun, sebagai doktor dia perlu bijak membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai doktor gigi dengan kebun sayur yang diusahakan bagi menjana pendapatan tambahan.
"Rakan saya, yang mengikuti kursus jangka pendek di Johor sebelum ini, banyak membantu untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan tanaman sayur.
"Selepas kira-kira 45 hari mengusahakan tanaman terung mini, saya kini sudah mula menuai hasil yang memuaskan. Seminggu tujuh tan buah dapat dijual kepada pemborong.
"Saya seolah tidak percaya dengan hasil diraih, seterusnya mampu menjual terung mini pada harga RM7 sekilogram bagi gred A dan RM3 bagi gred B," katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, harga pasaran terung yang memuaskan menambahkan lagi semangatnya untuk terus mengusahakan projek pertanian berskala besar selepas ini manakala tanaman cili besar dan kolam ikan akan diusahakan pertengahan tahun ini.
Dr Amin Fauzi berkata, sesibuk mana tugas sebagai doktor gigi dia tetap akan meluangkan masa antara sejam hingga dua jam sehari di kebun melakukan pelbagai kerja yang diperlukan.
Katanya, projek tanaman terung mini yang diusahakan ini mendapat sokongan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Sagu Satu, pengurusan Felda Dan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan yang sentiasa memantau kemajuan dicapai.
"Projek tanaman terung mini ini turut dapat membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia tempatan selain menjadikan tanah terbiar sebagai tapak meraih pendapatan walaupun sebelum ini, ada pihak tidak yakin dengan projek yang akan diusahakan.
"Saya ingin merebut peluang yang terhidang bukan sahaja untuk keuntungan peribadi tetapi lebih penting dapat dikongsi dengan pihak lain terutama masyarakat setempat," katanya.
Dr Amin Fauzi turut bercita-cita ingin menjadikan Felda Bukit Sagu Satu sebagai hab pengeluaran hasil sayuran utama di negeri ini.
Katanya, banyak kawasan tanah terbiar di kawasan Felda yang boleh dimajukan dan peluang berkenaan perlu digunakan sepenuhnya oleh generasi muda kerana projek pertanian menjanjikan pendapatan lumayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan