Sabtu, 27 Februari 2021

Rempuh kenderaan: Polis temui dadah, seorang ditahan, Bob Mah Sing diburu

Kumara Sabapatty
Suspek
Rakan penjenayah dadah bernama Bob Mah Sing sedang diburu polis selepas meloloskan diri dari insiden ganas selepas tayar keretanya ditembak polis dari Gombak hingga ke Sierramas Sungai Buloh tengahari ini.

PETALING JAYA – Polis menemui plastik lutsinar yang disyaki dadah heroin seberat 1.7 gram dalam kereta yang ditinggalkan dua individu selepas melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa itu di Sierramas, di sini dengan merepuh beberapa kenderaan.

Bagaimanapun polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di kawasan perumahan Desa Aman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kereta suspek ditinggalkan.

Ketua polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pada jam 12.45 tengahari Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak telah menerima makluman bahawa dua individu yang menaiki kereta Proton Waja dari Kampung Desa Aman menghala bulatan Sierramas enggan memberi kerjasama untuk diperiksa.

“Mereka tiba-tiba bertindak merempuh kenderaan lori dan Myvi yang berada di hadapan, dan beberapa kenderaan termasuk MPV polis yang berada di belakang bagi meloloskan diri dari pemeriksaan polis.

“Suspek juga cuba merempuh kereta MPV polis sehingga memaksa salah seorang anggota polis melepaskan tembakan ke kedua-dua tayar hadapan kereta dinaiki suspek itu.

“Tindakan berani dan ganas suspek yang merempuh kenderaan di hadapan dan kanannya membolehkan suspek melarikan diri ke arah Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh dan akhirnya meninggalkan kereta mereka di tepi jalan kerana kebocoran tayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, hasil maklumat orang awam, anggota dari IPD Petaling Jaya menahan suspek seorang lelaki berusia 35 tahun di kawasan perumahan Desa Aman, kira-kira atu kilometer dari tempat kereta suspek ditinggalkan.

Suspek difahamkan ditahan selepas melarikan diri ke arah kawasan semak berhampiran Stesen MRT Damansara Damai.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod kes dadah lampau dan polis juga telah melancarkan pemburuan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dikenali dengan gelaran ‘Bob Mah Sing’ berusia 40-an.

“Suspek ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jya pagi esok (Sabtu) untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut,” katanya.

Nik Ezanee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307, 427, 188 Kanun Keseksaan,Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Tiada ulasan: