Jumaat, 26 Februari 2021

Isteri cubit lagi sakit’ – Wan Rosdy

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

WAN ROSDY menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin jenis PfizerBioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri.

Selain Wan Rosdy, seramai 113 individu menerima suntikan vaksin jenis PfizerBioNTech itu antaranya Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak; Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Tok Muda Che Awang Ngah; ahli exco kerajaan negeri dan ex-officio serta wakil-wakil rakyat. 

Turut menerima suntikan berkenaan, ketua-ketua jabatan termasuk penjawat awam dan dalam kalangan Jabatan Kesihatan Negeri. 

Wan Rosdy berkata, alhamdulillah beliau langsung tidak berasa sakit menerima suntikan berkenaan.

“Jika tanya sakit atau tidak ketika saya diberi suntikan tadi? Jawabnya, tidak langsung. Kalau isteri cubit, lagi sakit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata, dengan suntikan 114 orang pada program tersebut, menandakan permulaan kepada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri.

“Di bawah fasa pertama, melibatkan ‘frontliners’ seramai 32,175 orang. Bagi fasa kedua pula, ia melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas, dan golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’, suntikan vaksin akan bermula April ini.

“Di bawah fasa ketiga, melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022.

“Dengan ini, dijangkakan, kesemua kira-kira 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri ini, bakal divaksin sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik Covid-19,” katanya. 

Menurutnya, 69 pusat suntikan ditetapkan di seluruh negeri melibatkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan/agensi berkenaan, jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang.

Beliau dalam pada itu mengingatkan golongan yang disifatkan sebagai antivaksin supaya tidak menghasut rakyat berhubung suntikan vaksin berkenaan. 

“Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan berkaitan mendatangkan ketakutan atau kegusaran awam misalnya, jika seseorang disabitkan kesalahan di bawahnya boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-dua sekali,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: